Menurut Imam al Ghazali, sabar dalam mentaati Allah itu, terbahagi kepada tiga; yakni sabar ketikan hendak memulakannya, semasa mengerjakannya dan selepas mengerjakannya.
Sabar sebelum memulakan ketaatan ialah kita mampu menahan daripada godaan niat-niat yang lain kecuali demi mendapatakan keredhaan Allah. Jangan sekali-kali mengharap pujian, pengiktirafan dan penghargaan daripada manusia. Dengan kesabaran, kita mampu menangkis sifat riyak atau syirik kecil sebelum melakukan suatu ibadah.
Sabar semasa melakukan ketaatan adalah dengan menahan diri daripada segala kesusahana yang terjadi semasa kita melakukannya. umpamanya apabila menutup aurat, tentulah ada sedikit rasa panas, tidak selesa (buat pertama kalinya), disindir orang dan sebagainya. Namun kita terus istiqamah untuk melakukannya walau betapa sukar sekalipun fizikal, emosi dan hati kita menanggungnya.
Manakala sabar selepas melakukan ibadah dengan menahan diri daripada bersifat riyak (menunjuk-nunjuk), sum'ah (suka mendengar pujian) dan ujub (berasa hairan dengan kemampuan diri0. Menurut Imam al-Ghazali, sabar di peringkat inilah yang paling sukar. Ini adalah godaan yang menimpa hati. Jika tauhid tidak dihayati, maka dengan mudah sahaja syaitan menipu lalu terhapuslah segala kebaikan yang dibina.
Dalam sebuah hadis yang panjang, Rasulullah SAW telah menjelaskan bagaimana orang kaya yang dermawan, orang yang membaca Al-Quran dan orang yang mati syahid telah ditolak amalannya kerana tidak ikhlas.
No comments:
Post a Comment