![]() |
|
DR. Md. Isa Sabu menyampaikan bantuan kepada wakil Persatuan Orang Kurang Upaya Perlis, Othman Ibrahim di Kangar semalam.
|
KANGAR 10 Mei - Individu yang menghina orang kurang upaya (OKU) wajar dikategorikan sebagai manusia yang lupakan Tuhan, tegas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.
Katanya, mereka yang menghina OKU secara tidak langsung turut menghina Allah yang mencipta individu OKU itu sendiri.
''Sebagai seorang manusia yang waras, kita jangan sesekali menghina OKU. Mereka dikehendaki oleh Allah berkeadaan sedemikian. Buat apa kita menghina mereka.
''Oleh itu, jangalah kita menghina OKU sebagaimana tindakan segelintir wakil rakyat pembangkang terhadap Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Hee Yit Foong semasa sidang DUN di Ipoh, beberapa hari lalu," jelasnya.
Semasa persidangan DUN Perak, Jumaat lepas, Yit Fong dihina sebagai OKU semasa mengambil alih perjalanan sidang DUN.
Md. Isa menyatakan, manusia yang waras akan sentiasa menggunakan mindanya secara tertib dalam sebarang tindakan.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan mesyuarat agung Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis, di Dewan Residensi di sini hari ini.
Menteri Besar Perlis juga turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa menghulurkan bantuan terhadap badan-badan kebajikan.
''Badan-badan kebajikan di Perlis memerlukan perhatian. Ada yang menjaga kebajikan anak-anak yatim, OKU dan mereka yang sindrom Down.
''Marilah kita membantu kumpulan ini. Golongan muda terutamanya, semua kenalah ingat bahawa badan-badan ini mungkin anda sendiri akan menganggotainya suatu hari nanti," jelasnya lagi.

No comments:
Post a Comment