Hati Yang Terusik- Nia Azalea

Sudah lama saya menanti nukilan terbaru Nia Azalea kerana dia merupakan antara penulis "favorite" saya. Dua tahun menyepi kerana melanjutkan pelajaran di UK, kini Nia Azalea kembali semula dengan novel ketiga beliau "Hati Yang Terusik". Saya rasa teruja untuk menilai hasil Nia kali ini dan, ternyata ia tidak mengecewakan!
Hati Yang Terusik menjurus kepada dua watak utama, Vanessa dan Farhan. Mereka bertemu dan bercinta di UK. Kewujudan watak-watak sekondari menggerakkan kisah cinta antara dua watak yang kompleks ini. Tetapi, saya lebih suka untuk mengetahui apakah kesudahan kisah Irene, kakak Vanessa yang diperkenalkan dahulu di bahagian awal cerita walau tumpuan Hati Yang Terusik lebih kepada Vanessa dan Farhan. Tapi, saya kira, kisah Irene ini mungkin diselitkan supaya pembaca lebih faham mengenai latar belakang cerita ini sebelum mengikuti perjalanan cinta Vanessa dan Farhan yang penuh dengan onak dan duri.
Walau ianya hanya satu cinta biasa antara dua insan, hati saya tetap terusik! Kadang-kala, saya tersenyum sendiri apabila Farhan menyakat Vanessa dengan aksi-aksi yang mencuit hati; kadangkala saya rasa sedih mencengkam emosi menyaksikan pertengkaran pendapat di antara Farhan dan Vanessa dan sesekali, saya dapat merasakan "tekanan" perasaan Vanessa menghadapi cabaran paling besar dalam percintaannya dengan Farhan. Berbagai rasa apabila membaca Hati Yang Terusik dan menjejak kisah cinta Vanessa dan Farhan. Saya lihat ini sebagai keistimewaan Nia Azalea tersendiri yang saya pernah temui dalam dua karya terdahulunya: Kau Yang Satu dan Seredup Kasihmu. Kreativitinya mengolah cerita dan dialog mampu menjentik pelbagai perasaan di hati saya. Nia mempunyai style nya tersendiri.
Setelah sekian lama, saya rasa puas hati dengan Nia kerana saya dapat temui "jiwa"nya dalam Hati Yang Terusik. Selepas ini, saya pasti akan dapatkan wangian lavender! Syabas Nia Azalea kerana kembali "berbisa" dengan "Hatimu Yang Terusik".
Rating: ****(Best - Berbaloi dijadikan koleksi peribadi!)
No comments:
Post a Comment